News Release
15  Januari 2009 
Kuala Lumpur 
PROJEK JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI (HSBB) TM DI LANDASAN YANG BETUL UNTUK PELANCARAN KOMERSIL PADA SUKU PERTAMA 

Projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Telekom Malaysia Berhad (TM) terus berjalan lancar dengan perhatian diberikan kepada pelancaran komersilnya pada akhir suku pertama tahun ini. Kerja-kerja pembangunan infrastruktur sedang berjalan lancar dan kini melewati lingkaran dalam Lembah Klang ke Putrajaya dan rantau ekonomi selatan iaitu Iskandar Malaysia, terutamanya di Nusajaya.  
TM ingin memaklumkan bahawa Syarikat telah menyiapkan 100% kerja-kerja di empat ibu sawat yang merangkumi kawasan Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya, Shah Alam dan Bangsar iaitu kawasan-kawasan yang akan menerima perkhidmatan ini di peringkat awal dan kini TM sedang melaksanakan rangkaian HSBB di Nusajaya dan Putrajaya. 
Pada akhir 31 Disember 2009, TM telah memasang infrastruktur untuk 152,000 premis.  
Projek HSBB bernilai RM11.3 bilion yang ditandatangani pada bulan September 2008 adalah Usahasama Awam – Swasta antara TM dan Kerajaan Malaysia untuk membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang. Menjelang akhir 2012 – seperti yang dipersetujui dengan Kerajaan – kira-kira 1.3 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses ke perkhidmatan HSBB. Kawasan-kawasan di seluruh negara, yang dikenali sebagai Zon 1, termasuk Lingkaran Dalam Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan kawasan industri penting di seluruh negara.  
TM menyumbangkan sebanyak RM8.9 bilion sementara Kerajaan menyumbangkan RM2.4 bilion mengikut jumlah tuntutan berdasarkan pencapaian projek oleh TM. 
Jumlah perbelanjaan modal TM berkaitan projek HSBB setakat 31 Disember 2009 telah mencapai RM1.9 bilion – merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa.  
TM berada di landasan yang betul untuk meneruskan rancangannya untuk melancarkan perkhidmatan komersil HSBB di empat kawasan awal pada akhir Q1, 2010. Syarikat kini sedang menjalankan ‘percubaan perkhidmatan’ di isi rumah yang terpilih di empat kawasan tersebut. 
Percubaan perkhidmatan ini memberi peluang kepada TM untuk menguji sistem, proses,, metodologi pemasangan gentian dan sebagainya agar dapat menawarkan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan apabila perkhidmatan komersil ditawarkan pada akhir suku tahun pertama 2010. Para ‘penguji beta’ HSBB tersebut sedang mengalami dan menikmati akses rangkaian berkelajuan 15Mbps sebagai sebahagian daripada pakej perkhidmatan tiga serangkai (‘triple play’) merangkumi Suara, Video dan Data yang bakal digabungkan bagi melengkapkan pakej runcit komersal HSBB yang akan diumumkan oleh TM tidak lama sebelum tarikh pelancarannya nanti. 
Dalam tempoh 3 bulan akan datang, 2000 – 2500 lagi isi rumah dalam empat kawasan HSBB yang awal ini akan terlibat dalam percubaan perkhidmatan komersil HSBB. Pada bulan Disember 2009, TM telah mengumumkan bahawa 123 isi rumah di Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya dan Shah Alam telah pun terlibat dalam percubaan perkhidmatan komersil HSBB, sebahagian daripada rancangan berperingkat TM untuk melaksanakan perkhidmatan komersil HSBB di empat kawasan itu sebelum akhir Q1, 2010. 
HSBB bakal menjanjikan kelajuan akses rangkaian (kelajuan port) yang lebih pantas berbanding kelajuan terpantas Jalur Lebar untuk Masyarakat Umum (BBGP) yang kini ditawarkan pada kelajuan sedia ada sehingga 4Mbps oleh perkhidmatan Streamyx. HSBB juga mensasarkan prestasi rangkaian menyeluruh yang unggul, termasuk lebar jalur antarabangsa.

Mengenai TM 
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya. 
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya. 
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 11,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008.
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my 
Dikeluarkan oleh: 
Komunikasi Korporat KumpulanTelekom Malaysia BerhadAras 8 (Selatan), Menara TM, Jalan Pantai Baharu50672 Kuala Lumpur 
Untuk pertanyaan, sila hubungi: 

1.        Mariam Bevi Batcha
Naib Presiden
Tel: (03) 2240 2666
HP: (019) 333 0611
Emel: mbb@tm.com.my
2.        Norlaili Mohamad
Pengurus
Tel: (03) 2240 2614
HP: (019) 212 5980
E-mel: lily.mohamad@tm.com.my
3.        Asma Abdul Aziz
Pengurus
Tel: (03) 2240 3840
HP: (013) 364 1830
Emel: asma_aa@tm.com.my


0 ulasan to "PROJEK JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI (HSBB) TM DI LANDASAN YANG BETUL UNTUK PELANCARAN KOMERSIL PADA SUKU PERTAMA"

Post a Comment

Ai, takkan tengok je.:)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails